Tuesday, November 16, 2010

Siaran Media 16/11/2010:Perjalanan Pemilihan 2010 Masih Belum Memuaskan.Pemilihan 2010 Mestilah Ditangguhkan.Tindakan Tegas JPP &Kepimpinan Diperlukan

Saya ingin menegaskan bahawa perjalanan pemilihan beberapa hari yang lalu masih belum memuaskan. Unsur-unsur kelompongan yang paparkan dalam memorandum lalu masih berterusan.

Beberapa aduan tambahan sedang dalam proses dan beberapa orang calon juga sedang memfailkan beberapa kes khusus untuk disiasat.

Ingin ditegaskan bahawa saya meneruskan bertanding jawatan timbalan presiden di dalam protes. Dalam ertikata kita masih sangsi dengan perjalanan pemilihan yang ada, namun demi menyelamatkan perjuangan dan parti serta keadaan, saya meneruskan pertandingan.
Saya tetap berpendirian yang juga mewakili sejumlah anggota yang signifikan, bahawa pemilihan 2010 mestilah ditangguhkan bagi memberi masa segala aduan dan bantahan ditangani, proses penambahbaikan JPP, logistik dan semua persiapan pemilihan. Dalam masa yang sama mengambil tindakan tegas dalam membetulkan dakwaan dan tanggapan meluas campurtangan pimpinan tertentu memperalatkan JPP.

Tidak ada aibnya kepimpinan mendengar keluhan akarumbi dalam persoalan ini. Malahan rakyat Malaysia akan melihat betapa kepimpinan KEADILAN benar-benar peka dengan sebarang permasalahan, bermula dengan pengendalian persoalan dalaman dan kemudiannya keluhan rakyat keseluruhannya.

KEADILAN sewajarnya benar-benar tampil mewakili aspirasi rakyat serta menawarkan model yang terbaik kepada rakyat Malaysia termasuk proses pemilihan parti yang demokratik dari segi konsep serta perlaksanaannya.


“KESINAMBUNGAN PERJUANGAN”
“KEMBALIKAN SUARA RAKYAT”




MUSTAFFA KAMIL AYUB
Naib Presiden KEADILAN
Calon Timbalan Presiden KEADILAN

Friday, November 12, 2010

Kenyataan Media 12 November 2010 :Demi Maruah Perjuangan & Parti Saya Tetap Menawarkan Diri Bertanding Timbalan Presiden Walaupun di Dalam Protes

Sejumlah anggota-anggota parti di peringkat akar umbi terus meminta parti dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) untuk mengambil tindakan terhadap memorandum yang dihantar pada 9 November 2010 yang lalu bagi memastikan Pemilihan 2010 yang telah dan sedang berlangsung sekarang benar-benar bersih, bebas dan adil mengikut etika Pemilihan 2010 yang dikeluarkan oleh JPP.

Sesungguhnya saya ingin menegaskan bahawa 'demi mempertahankan prinsip keadilan' saya dan rakan-rakan meletakkan keyakinan dan harapan kepada Pengerusi JPP agar segera membuat siasatan terhadap manipulasi pemilihan melalui aduan dan bantahan daripada cabang-cabang yang telah diterima dan yang akan menghantar bantahan seterusnya untuk tindakan praktis daripada JPP.

Sebagai sebuah parti yang berhasrat untuk mewujudkan Politik Baru, Budaya Baru seperti yang pernah dinyatakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pemimpin dan anggota parti 12 tahun yang lalu, ianya hendaklah benar-benar dihayati dan dilaksanakan dalam Parti Keadilan Rakyat termasuklah dalam proses Pemilihan 2010 yang berlangsung kini dengan meletakkan sistem demokrasi yang tulen berlaku dalam parti dan di negara ini.

Kekuatan dan prestasi Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat (PR) terus diintai oleh Barisan Nasional (BN) dan mereka sentiasa mencari usaha-usaha yang berterusan untuk memecah dan melemahkan parti kita dari semasa kesemasa. Saya ingin mengingatkan anggota dan penyokong KEADILAN dan PR supaya jangan terpengaruh dengan manupulasi media tertentu yang sentiasa mencari jalan untuk terus menjatuhkan kredibiliti pemimpin rakyat iaitu Anwar Ibrahim.

Saya sebagai Naib Presiden KEADILAN ingin menegaskan bahawa jasa, sumbangan dan kesan Anwar Ibrahim dalam politik negara ini sangat besar khususnya menggerakkan perubahan rakyat sehingga berlakunya ‘Tsunami Politik 2008’. Keupayaan beliau memperjuangkan isu-isu penyelewengan pemerintah dan penyedaran rakyat terhadap perubahan kepimpinan negara amat diperlukan oleh KEADILAN dan PR di negara ini. Saya mengenali Anwar Ibrahim sejak sekian lama dan semua rakyat mestilah mendokong kepimpinan beliau.

Sekaligus saya ingin membuat penyataan bahawa tanggapan sebahagian anggota parti mengenai kehadiran saya bersama Zaid Ibrahim meminta Anwar Ibrahim berundur adalah tidak benar sama sekali. Kehadiran saya bersama Zaid Ibrahim seperti termuat didalam akhbar adalah atas prinsip bersama yang meminta JPP berlaku adil dalam proses Pemilihan 2010 ini dan menyekat unsur-unsur manipulasi yang berlaku dalam pemilihan.

Saya sedar dan faham bahawa kehadiran saya itu telah diambil kesempatan oleh pelbagai pihak termasuk sesetengah pimpinan parti untuk menjatuhkan kredibiliti saya. Jangan biarkan politik adu domba, fitnah berlaku dalam parti kita. Jangan kerana saya selaku anggota parti memberikan pandangan berbeda, senang untuk pihak yang tidak bertanggungjawab menfitnah saya dan akar umbi yang menyokong saya.

Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Anwar Ibrahim, Presiden KEADILAN dan Pengerusi JPP yang telah membuat penelitian mendalam terhadap memorandum yang diberikan dan dibawa ke dalam mesyuarat khas Biro Politik KEADILAN. Hasil pertemuan khusus selama sejam pada tengahari Khamis 11 November 2010 bersama Pengerusi JPP, merumuskan muafakat 3 komitmen utama:-

1. JPP akan diangkat sebagai sebuah badan yang benar-benar berautonomi.

2. Sebuah panel pemantau pakar akan diwujudkan bagi memantau tahap ketelusan dan integriti JPP dalam Pemilihan 2010.

3. Melaksanakan tindakan-tindakan berdasarkan cadangan-cadangan yang di buat didalam memorandum terutamanya mengenai pengendalian aduan-aduan dan bantahan-bantahan yang telah dikemukakan samada diperingkat pemilihan cabang mahupun pusat bagi membaiki kesilapan lalu.

Berasaskan kepada situasi serta bersesuaian dengan “Politik Nilai” sebagai cagaran dan misi saya yang menawarkan diri bertanding Timbalan Presiden KEADILAN, saya menegaskan :-

1. JPP hendaklah segera meneliti dan membuat semakan terhadap aduan dan bantahan yang di terima.

2. JPP hendaklah menjalankan siasatan terhadap ketidakadilan, ketidaktelusan yang berlaku sejak pemilihan MATC dan pemilihan MPP kini.

Sememangnya saya amat memahami rintihan dan keluhan anggota dan pimpinan akar umbi mengenai masalah yang berbangkit serta ketidakpuasan hati yang berlaku, lantas mahu memboikot atau menarik diri dari proses pemilihan, atau memohon menangguhkan Pemilihan 2010, namun demi kepentingan parti jika Pemilihan 2010 tetap diteruskan, saya akan kekal bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden walaupun didalam protes. Tindakan ini juga sebagai menghormati pandangan dan keyakinan anggota-anggota di peringkat akar umbi, yang menginginkan saya terus bertanding bagi Timbalan Presiden KEADILAN.

Saya dengan penuh komitmen mengajak semua anggota parti bersama dengan saya mempertahankan survival dan maruah parti. Sesungguhnya saya merayu kepada semua anggota parti yang mengundi nanti supaya memberikan saya peluang untuk memenuhi harapan rakyat ini.

Sekiranya saya diberi peluang, saya akan melaksanakan polisi rakyat dalam parti dengan mengangkat semula suara rakyat akar umbi, anggota parti dan golongan Reformis sebagai suara utama parti. Saya juga akan memastikan kelangsungan politik nilai dalam parti seperti sederhana,toleransi, kasih sayang serta menolak politik fitnah dan politik wang dalam parti.

“KESINAMBUNGAN PERJUANGAN”

“KEMBALIKAN SUARA RAKYAT”

MUSTAFFA KAMIL AYUB

Naib Presiden KEADILAN

Calon Timbalan Presiden KEADILAN

www.mustaffakamil.blogspot.com / 012-324 9598 / 012-256 9598

muskamil_63@yahoo.com / muskamil63@gmail.com

Thursday, November 11, 2010

Kenyataan Media 11 November 2010 : Sokongan Tidak Berbelah Bagi Kepada Kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim

Saya merujuk kepada laporan bertajuk “Anwar, Azmin tak tunduk desakan keluar parti” pada muka 4 Berita Harian bertarikh 10hb November 2010 yang ditulis oleh wartawan Anwar Hussin dan Haspaizi Mohd Zain. Di dalam ruangan berita tersebut, Berita Harian telah menyiarkan gambar saya bersama Dato’ Zaid Ibrahim dengan caption yang tertulis “Mustaffa Kamil (kiri) dan Zaid menunjukkan memorandum mendesak Anwar dan Mohamed Azmin supaya berundur pada sidang media di kediaman Zaid di Kuala Lumpur, semalam”.

Saya membantah sekeras-kerasnya laporan yang salah di dalam caption gambar tersebut kerana memorandum yang ditunjukkan di dalam gambar tersebut bukan sama sekali untuk mendesak Dato’ Seri Anwar dan Sdr Azmin berundur. Sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, memorandum yang saya hantar pada 9hb November 2010 tersebut adalah untuk meminta pembatalan dan penjalanan semula Pemilihan Kepimpinan KEADILAN 2010 dan kandungannya diketahui oleh Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah. Sidang media memaklumkan penyerahan memorandum mengenai JPP dihadiri oleh Dato’ Zaid Ibrahim dan setelah selesai, saya meninggalkan sidang, yang kemudian diteruskan oleh Dato’ Zaid Ibrahim tanpa kehadiran saya.

Saya ingin menegaskan bahawa sokongan penuh saya kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden KEADILAN tidak pernah berubah. Pendirian tersebut memang sedia diakui oleh kebanyakan ahli-ahli parti berdasarkan rekod saya yang sentiasa konsisten mempertahankan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepanjang 12 tahun saya terlibat dalam perjuangan reformasi. Saya percaya bahawa KEADILAN, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia seluruhnya amat memerlukan kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh pembaharuan yang mampu membawa perubahan besar kepada negara.

Memorandum yang saya hantar 2 hari yang lalu adalah berdasarkan rintihan suara akar umbi yang terbabit dengan proses pemilihan parti 2010 dan memfokuskan kepada masalah dan kepincangan di sekitar perjalanan Pemilihan Kepimpinan 2010 yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah telah menyambut baik dan akan mempertimbangkan kandungan memorandum tersebut berdasarkan jaminan yang saya terima dalam pertemuan saya dengan kedua-dua pemimpin tersebut pada hari yang sama.

Saya memberi amaran agar jangan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menyelewengkan fakta dan menabur fitnah dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti Dato’ Seri Anwar, saya sendiri dan pemimpin-pemimpin parti yang lain.

Saya dengan ini menuntut supaya Berita Harian memohon maaf secara terbuka dan membuat pembetulan atas laporan tersebut dalam tempoh 24 jam. Sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat demikian, saya terpaksa mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran.


“KESINAMBUNGAN PERJUANGAN”
“KEMBALIKAN SUARA RAKYAT”




MUSTAFFA KAMIL AYUB
Naib Presiden KEADILAN
Calon Timbalan Presiden KEADILAN



www.mustaffakamil.blogspot.com
muskamil_63@yahoo.com
muskamil63@gmail.com

Kenyataan Media 9 November 2010 : Pembatalan & Penjalanan Semula Pemilihan Parti KEADILAN Rakyat 2010

Pemilihan Kepimpinan pusat Keadilan sedang berlangsung sejak 29hb. Oktober 2010. Sehingga kini terdapat 162 aduan atas kepincangan yang akan menjejaskan integriti dan kredibiliti JPP.

Hari ini saya dan teman-teman akan menyerahkan memorandum bagi mendesak pembatalan dan penjalanan semula pemilihan kepimpinan pusat 2010 kepada Presiden KEADILAN dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Antara lain dalam memorandum ini kami mempersoalkan tentang sistem dan perjalanan pemilihan secara telus yang diperkenalkan pada tahun ini amat jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan oleh perwakilan yang meluluskan pindaan Perlembagaan parti dalam Kongres Khas pada bulan Jun 2009.

Kegagalan utama JPP ialah dalam mempertahankan prinsip pemilihan yang bersih, bebas dan adil (clean, free and fair election). Integriti JPP amat dipersoalkan sehingga terdapat lebih 162 aduan yang diantara lain berkenaan tindakan-tindakan ahli-ahli JPP dan pengawas-pengawas pemilihan yang bertindak memihak, berat sebelah malah terlibat dalam penipuan undi.

Kami juga mendesak supaya JPP mengisytiharkan pemberhentian Pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum ini. Sekiranya tindakan pemberhentian Pemilihan tidak dilakukan dalam tempoh tersebut, kami akan mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan.

Saya percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia.



“KESINAMBUNGAN PERJUANGAN”
“KEMBALIKAN SUARA RAKYAT”



MUSTAFFA KAMIL AYUB
Naib Presiden KEADILAN
Calon Timbalan Presiden KEADILAN



www.mustaffakamil.blogspot.com
muskamil_63@yahoo.com
muskamil63@gmail.com

Thursday, November 4, 2010

Kenyataan Media 4 November 2010 : Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) 2010 Mesti Telus & Ada Integriti

Proses pemilihan Parti KEADILAN telah bermula pada 29 Oktober 2010, namun apa yang kita harapkan untuk memperolehi satu sistem pemilihan yang adil dan telus daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) semasa mengendalikan proses pemilihan amatlah mendukacitakan.

Kita juga pernah menyuarakan bantahan sebelum ini, dalam peringkat proses pencalonan dan pemilihan cabang terhadap JPP, disebabkan banyaknya berlaku masalah dan ketidakseragaman dalam melaksanakan syarat dan peraturan pertandingan yang sepertimana yang ditetapkan oleh JPP itu sendiri. Secara jelasnya, walaupun terdapat banyak bantahan yang telah dikemukakan, sehingga kini tidak ada apa-apa tindakan dan keputusan yang diambil oleh jawatankuasa tersebut, walaupun terdapat syarat dan peraturan tidak yang secara jelas tidak dipatuhi.

Permasalahan ini terus berlarutan sehingga ke proses Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat yang sedang berlaku dan akan berakhir pada 21 November 2010 nanti, ketelusan terhadap JPP ini terus dipertikaikan oleh pelbagai pihak, dengan beberapa insiden, salah laku yang telah berlaku secara jelasnya, dimana terdapat kaedah pengendalian tidak bersikap profesional dan bersifat condong sebelah pihak. Ini termasuk, soal penjumlahan undi yang diumumkan tidak konsisten, terutamanya keputusan yang melibatkan kedudukan Jawatan Timbalan Presiden.

Justeru, bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti yang berlandaskan keadilan untuk semua, kami mohon supaya status JPP ini digantung dan proses pemilihan parti ditangguhkan sehingga kita yakin sepenuhnya badan atau Jawatankuasa Pemilihan ini mengambil tindakan yang proaktif membaiki kelompangan yang ada. Tindakan ini perlu, supaya ianya tidak akan menimbulkan pelbagai masalah dalam proses Pemilihan Parti 2010 seterusnya.

Kami juga telah menyiapkan satu memorandum cadangan bagi penambahbaikan JPP untuk diserahkan kepada Presiden KEADILAN dan Pengerusi JPP.

Kami juga menegaskan, bentuk tindakan yang kami lakukan ini adalah kerana kami meletakkan kepentingan parti itu di atas, malah juga untuk menjaga keharmonian dan kepentingan parti ini. Hasrat baik pendekatan parti untuk memberi kuasa memilih kepada kepada setiap anggota pastinya tergugat dan terhalang, sekiranya badan atau jawatankuasa yang dilantik tidak dapat berperanan dengan sebaiknya. Kita tidak mahu anggota parti sendiri ditipu dan dizalimi oleh kerana kepentingan pihak tertentu, sepertimana apa yang kita perjuangkan untuk memberi keadilan untuk semua. Suara anggota akar umbi mestilah dikembalikan dalam KEADILAN.


“KESINAMBUNGAN PERJUANGAN”
“KEMBALIKAN SUARA RAKYAT”


MUSTAFFA KAMIL AYUB
Naib Presiden Keadilan
Calon Timbalan Presiden Keadilan

Friday, October 22, 2010

Manifesto & cita-cita semua...

[klik gambar untuk pembesaran]

[Youtube] Kembalikan Suara Reformasi Dalam Keadilan



Thursday, October 21, 2010

Pakatan janji pertahan Perlembagaan, tolak politik rasis Umno BN!

Kenyataan Media:
Pertahankan ketertinggian Perlembagaan, Tolak Politik Rasis Umno BN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa kepentingan Melayu tidak akan dipadamkan walaupun dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ini kerana kata Presiden Umno itu, untuk mengubah soal kepentingan Melayu dalam Perlembahaan sekalipun, sebenarnya memerlukan persetujuan 9 anggota dari Majlis Raja-Raja Malaysia.

"Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak mampu mengubah apa-apa jua tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai oleh sembilan Orang Raja-Raja Melayu," ucap Najib di Pemilihan Agong Umno petang tadi.

Wednesday, October 20, 2010

"Manifesto kita...," kata Mus.

KEMBALIKAN SUARA RAKYAT DALAM KEADILAN

"Rakyat dan golongan refomis lah yang mencetuskan penubuhan serta mengangkat parti kita sekuat ini. Atas keyakinan bahawa suara-suara ini terpenting untuk menggerakkan parti dan seluruh rakyat ke Putrajaya, saya berasa wajib untuk saya memastikan suara-suara ini akan digemakan semula."


Mustaffa Kamil Ayub
Calon Timbalan Presiden KEADILAN


MISI KITA
- Saya akan melaksanakan 'polisi rakyat' dalam parti dengan mengangkat semula suara akar umbi parti dan golongan Reformis sebagai suara utama parti.

- Saya akan memastikan janji Pakatan Rakyat untuk memberi hak autonomi kepada Sabah dan Sarawak dilaksanakan.

- Saya akan memastikan kelangsungan politik nilai dalam parti seperti sederhana, toleransi, mesra, setiakawan, berhemah dan berintegriti supaya pemimpin dididik menjadi 'khadam' rakyat; serta sama-sama tolak politik elitis dan politik wang dalam parti.

Thursday, October 14, 2010

Kenyataan Media 14 Oktober 2010: Laksana Pembaharuan Institutusi (Institutional Reform), Dedah Akaun Calon dan Cat Jari Demi Integriti Parti

KENYATAAN MEDIA

14 Oktober 2010

Laksana Pembaharuan Institusi (Institutional Reform), Dedah Akaun Calon dan Cat Jari Demi Integriti Parti


Assalamualaikum dan salam mesra,

Sempena proses pemilihan peringkat pusat dengan pengesahan calon-calon bertanding pada 16 Oktober ini, saya mencadangkan supaya semua calon yang bertanding mengisytiharkan harta serta belanjawan masing-masing.

Boleh dikatakan sepanjang pilihan raya umum dan kecil lepas, oposisi mengajak rakyat percaya bahawa kebanyakan pemimpin UMNO/BN mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kita bukan sahaja mencabar mereka yang terbabit mendedahkan akaun masing-masing dan belanjawan pilihan raya masing-masing sempena pilihan raya. Malah, kita juga mendesak pihak berwajib seperti SPR dan SPRM supaya menyiasat beberapa pemimpin UMNO/BN yang kita anggap tiada integriti.

Monday, October 11, 2010

Saya tetap bertanding Timbalan!

KENYATAAN MEDIA
Timbalan: Saya tetap bertanding!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selepas Tan Sri Khalid mengumumkan untuk menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Presiden KEADILAN, Sahabat-sahabat tidap putus-putus menghubung saya.

Menurut mereka, pengumuman Tan Sri Khalid, Menteri Besar Selangor bakal mengubah lanskap sokongan di peringkat cabang-cabang, khususnya di Selangor kepada calon Timbalan yang lain.

Undi popular yang diberikan pada calon yang lain khabarnya berubah secara dinamik dan menarik.

Butakah Najib bahawa undi 4 November, Deepavali 5 Oktober?

KENYATAAN MEDIA
Galas: Buang undi 4 November bukti Najib buta budaya!


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Buang undi 4 November di Pilihan Raya Kecil Galas membukti Najib buta budaya, tidak peduli sensitiviti masyarakat Hindu di Malaysia

Apakah Najib, Perdana Menteri buta bahawa penganut Hindu meraikan Hari Deepavali pada 5 November depan?

Adakah budaya rasis yang diperjuangkan oleh Umno BN selama ini mengakibatkan Najib tidak kisah apa yang saya bangkitkan sekarang.

Impian Najib bohong!

KENYATAAN MEDIA
Impian Najib suatu pembohongan!

Assalamualaikum dan salam mesra,

Rakyat, khususnya bukan Melayu dinasihatkan supaya tidak terpengaruh oleh impian terbaru yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam di Perhimpunan Tahunan Agong MCA ke-57.

Najib, Perdana Menteri berkata, BN mesti disokong pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) supaya Malaysia boleh dipacu menjadi negara kelas pertama abad ke-21 melalui Program Tranformasi Ekonomi (ETP) sekarang.

Saturday, October 9, 2010

Rahimi ‘bom jangka C4‘ !

Naib presiden PKR: Rahimi ‘bom jangka C4 ‘mahu bunuh karakter Anwar


KUALA LUMPUR, 9 Okt — Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub menegaskan, musuh Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menggunakan bekas pembantunya Rahimi Osman sebagai “bom jangka C4” untuk membunuh karakter politik ketua pembangkang itu selepas “gagal” mempergunakan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Rabu lalu, Rahimi mendakwa dia telah dipaksa oleh pemimpin dan peguam PKR agar menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008 untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat melibatkan Anwar sekarang.

“Dalam firasat saya, kalau Saiful Bukhari gagal dijadikan sebagai peluru hidup untuk membunuh Anwar, Rahimi dengan apa cara sekalipun mesti dijadikan bom jangka C4 untuk membunuh karakter Anwar,” kata Mustaffa dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

'Jangan cover line lah, Datuk...'

KENYATAAN MEDIA:
'Jangan cover line lah, Datuk...'


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya percaya, Perkasa Pribumi Negara (Perkasa) dan Datuk Ibrahim Ali tidak akan turun ke Galas untuk membantu Ku Li.

Dia penakut untuk bercakap soal kepentingan Melayu di Galas sebab dia tahu orang-orang Melayu dan Orang Asal benci dengan api perkauman yang ditiupkan olehnya, Umno dan BN.

Soal pengiktirafan yang dibangkitkan olehnya apabila dicabar oleh Khalid Samad beberapa hari lalu sekadar untuk cover line sahaja.

Ayuh tolak dalang Politik busuk!

KENYATAAN MEDIA
Angkat Politik Nilai, tolak dalang politik busuk Rahimi dan Saiful Bukhari!


Assalamualaikum dan salam perjuangan!

Saya yakin Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan tampil mempertahankan diri apabila Rahimi Osman memburuk-burukkan parti KEADILAN dan peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya sangat yakin Najib dan Rosmah terlibat dalam konspirasi ini.

Friday, October 1, 2010

Pengumuman Bertanding Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat

Sidang Media
1 Oktober 2011 (Jumaat)

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Alhamdulillah. Musim pemilihan sempena Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) nampaknya menarik perhatian semua pihak. Anggota-anggota parti, saya lihat begitu komited dan percaya dengan sistem pemilihan yang baru, iaitu 1 anggota 1 undi.

Semua kita mahu melihat parti lebih adil. Anggota-anggota mahu Parti Keadilan Rakyat angkat semangat keadilan, begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden) dan juga saya.

Saturday, June 5, 2010

Dakwaan Biden Flotila Bawa Senjata Karut


KUALA LUMPUR 5 Jun - Dakwaan Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang mengatakan konvoi enam kapal bantuan kemanusiaan (Freedom Flotilla) kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza membawa bekalan senjata tidak berasas sama sekali.

Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub berkata kapal Mavi Marmara yang dulu diserang komando rejim Zionis-Israel yang menyebabkan sembilan sukarelawan dan berpuluh lagi cedera dalam serangan itu.

"Misi bantuan kemanusiaan itu adalah gabungan warga 40 buah negara dunia dan konvoi tersebut juga membawa ahli parlimen United Kingdom serta pemenang Nobel.

"Serangan itu menunjukkan rejim Zionis itu mengisytiharkan perang kepada seluruh warga dunia.

"Sehingga ke hari ini, rejim Zionis itu telah melanggar lebih 80 resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, maksudnya ia langsung tidak menghormati undang-undang dunia, " tegas beliau.

Biden, ketika ditemubual dalam rancangan "Charlie Rose" oleh stesen penyiaran American Public Broadcasting Service Rabu lalu mempertahankan tindakan Israel yang menahan kapal menuju ke Gaza bagi mencegah penyeludupan senjata.

Beliau berpandangan tidak ada keperluan untuk berkeras supaya bekalan itu disampaikan terus kepada penduduk Semenanjung Gaza.

Biden kemudiannya memberi alasan kononnya Israel bimbang dengan isi kandungan yang dibawa kapal tesebut.

Ditanya mengenai pendirian KEADILAN, Mustaffa berkata Pakatan Rakyat melalui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat kepada pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di sini untuk diserahkan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

"Pegawai tersebut berjanji akan menyerahkan surat tersebut minggu depan kepada Obama.

"Dalam surat itu, Pakatan Rakyat meminta agar beliau mengambil kesempatan untuk memperbetulkan keadaan itu," ujar Mustaffa lagi.

DEMO SELAMATKAN GAZA... DEPAN US EMBASSY..! Bersama Dr Hatta Ramli..

Umno-BN Perlekeh Pergorbanan Sukarelawan Malaysia, Turki Anggap Wira

June 5, 2010
KUALA LUMPUR 5 Jun - Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN , Mustaffa Kamil Ayub kesal dengan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang tidak mengiktiraf pengorbanan sukarelawan yang terselamat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza Isnin lepas.

"Faktor alasan kewangan tidak dapat diterima sama sekali sedangkan komitmen kerajaan Turki lebih tinggi berbanding negara-negara Islam yang lain termasuk Malaysia.

"Saya berasakan ini berkemungkinan mempunyai hubungkait dengan kontrak yang dimeterai antara kerajaan Umno-BN dan Apco.

"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak nampaknya seperti terikat dan mengikut telunjuk untuk mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Menurut Mustaffa lagi, ini mungkin mempunyai kaitan dengan kezaliman terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan Altantunya.

"Kita juga sangsi dengan respon Najib yang begitu lambat bertindak berhubung serangan komando rejim zionis Israel terhadap kapal Mavi Marmarra yang menyebabkan 9 aktivis dan berpuluh lagi cedera.

"Kontrak yang dimeterai Najib dengan syarikat Apco Worldwide menjadi satu sebab kerajaan Umno-BNl bersikap sederhana terhadap sukarelawan Malaysia yang terselamat," ujarnya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Sebelum itu, media melaporkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata Angkatan Tentera Malaysia tidak akan mengadakan penerbangan khas untuk membawa pulang 12 sukarelawan dan media Malaysia yang dibebaskan dari tahanan tentera Israel.

Ahmad Zahid memberi alasan penerbangan itu akan membabitkan kos yang tinggi dan setakat ini tiada permintaan daripada kerajaan Umno-BN untuk membawa mereka pulang menggunakan pesawat tentera.

http://kerabubersuara.blogspot.com

 
Cheap Web Hosting | new york lasik surgery | cpa website design