Thursday, October 21, 2010

Pakatan janji pertahan Perlembagaan, tolak politik rasis Umno BN!

Kenyataan Media:
Pertahankan ketertinggian Perlembagaan, Tolak Politik Rasis Umno BN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa kepentingan Melayu tidak akan dipadamkan walaupun dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ini kerana kata Presiden Umno itu, untuk mengubah soal kepentingan Melayu dalam Perlembahaan sekalipun, sebenarnya memerlukan persetujuan 9 anggota dari Majlis Raja-Raja Malaysia.

"Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak mampu mengubah apa-apa jua tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai oleh sembilan Orang Raja-Raja Melayu," ucap Najib di Pemilihan Agong Umno petang tadi.

Bagi saya, rakyat khususnya orang-orang Melayu perlu percaya bahawa sesiapa pun yang bakal memerintah kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), semua kepentingan ini tetap akan dipertahankan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Rakyat perlu percaya, bahawa kalau PKR, PAS dan DAP semua kepentingan Melayu dan bukan Melayu akan terus dipertahankan kerana Malaysia mengamalkan konsep ketertinggian Perlembagaan.

Maka, kalau pemimpin-pemimpin tertentu Umno mendakwa bahawa Melayu akan hilang kuasa kalau Umno kalah dalam PRU13 nanti, itu semua adalah dakyah Umno untuk membodohkan rakyat semata-mata.

Kalau pemimpin-pemimpin dari Pertubuhan Perkasa Pribumi Negara (Perkasa) mendakwa bahawa kuasa Melayu akan musnah kalau rakyat memberi mandat kepada PKR, PAS dan DAP, itu juga adalah dakyah untuk mengugut rakyat supaya tidak menolak politik rasis dan kronisme Perkasa dan Umno.

Di Dewan Rakyat sekarang, pemimpin PKR khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR bertarung menyelamatkan berbilion-bilion wang rakyat dari dibazirkan pada dengan beberapa projek mewah dalam Bajet 2011 seperti Menara Warisan Merdeka, Permata, MRT, 1MDB dan sebagainya yang jelas menafikan hak majoriti rakyat.

Di Dewan Rakyat sekarang, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang giat menasihatkan Najib supaya tidak meneruskan projek pencakar langit di atas kemiskinan rakyat yang akhirnya mengundang kebinasaan tamadun.

Di Dewan Rakyat sekarang, Lim Guang Eng, Setiausaha Agong DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan bertungkus lumus mendesak suatu suruhanjaya ditubuhkan supaya RM52 bilion ekuiti Bumiputera yang hilang dapat disiasat dan dikembalikan kepada rakyat, khususnya Melayu.

Selaku Naib Presiden PKR, saya mengajak rakyat baik Melayu atau bukan Melayu supaya memperkukuh keyakinan masing-masing serta membantu Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya supaya Malaysia mempunyai masa depan yang jauh lebih aman, bermaruah dan sejahtera sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.

Rakyat mesti membantu Pakatan Rakyat. Saya mahu mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan Pakatan Rakyat tetap mempertahankan ketertinggian Perlembagaan; tidak ada rakyat baik Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dizalimi sebagaimana era Umno BN memerintah negara kelak.

Malaysia lebih sejahtera sekiranya rakyat menolak politik rasis, kronisme, pembaziran, adu domba angkara pemimpin-pemimpin tertentu negara.

"Kembalikan Suara Reformasi Dalam Keadilan"


Mustaffa Kamil Ayub
Naib Presiden PKR

0 comments:

 
Cheap Web Hosting | new york lasik surgery | cpa website design