Friday, October 1, 2010

Pengumuman Bertanding Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat

Sidang Media
1 Oktober 2011 (Jumaat)

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Alhamdulillah. Musim pemilihan sempena Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) nampaknya menarik perhatian semua pihak. Anggota-anggota parti, saya lihat begitu komited dan percaya dengan sistem pemilihan yang baru, iaitu 1 anggota 1 undi.

Semua kita mahu melihat parti lebih adil. Anggota-anggota mahu Parti Keadilan Rakyat angkat semangat keadilan, begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden) dan juga saya.

Sistem 1 ahli 1 undi ini bagi saya adalah suatu kesinambungan perjuangan, iaitu mengajak semua pihak mewujudkan suatu masyarakat berpolitik yang madani. Mengapa saudara Anwar dan Dr. Wan Azizah mahu pemilihan parti ini lebih demokratik dari pilihan raya umum, dengan penamaannya, dengan isi borang calonnya, borang dipaparkan, bantahan dan sebagainya?

Bagi saya, ini semua adalah kesinambungan perjuangan Reformasi 1998 dahulu. Kita mengkritik pemerinatah kerana hak madani seperti kebebasan bersuara, memberi pendapat, hak untuk mendapatkan keadilan dinafikan.

Pada 2001 dulu, saya telah tulis tentang kepentingan melahirkan masyarakat madani. Sekarang, semua kita mahu ciri-ciri madani seperti yang dipertegas oleh Aristotle wujud dalam Parti Keadilan Rakyat iaitu:


"...Tanggungjawab berpolitik terasas pada keadilan yang teragih secara saksama (distributive justice), menghormati hak antara satu sama lain (treating equals equally) dan tercapai melalui undang-undang..." (Masyarakat Madani & Idealisme Politik)


Sebab itu, saya nak minta semua ahli dan calon-calon yang bertanding supaya bersabar; bersabar menerima partisipasi luar biasa di kalangan ahli, bersabar menerima apa pun keputusan anggota sempena pemilihan kali ini.

Saya ingat ini juga salah satu kesinambungan perjuangan yang harus sama-sama kita angkat kerana parti ini harus segera menjadi parti massa dengan semangat madani yang subur dan terbuka. Kita mampu angkat semangat demokrasi dalam parti kita.

Saya yakin rakyat bersedia menumbangkan Umno BN kelak; Parti Keadilan Rakyat serta Pakatan Rakyat bersedia membuka suatu lembaran demokrasi madani yang baru di tanah air. Inilah ketakutan dan fobia politik yang dialami oleh Umno. Mereka memburuk-burukkan imej KEADILAN, calon-calon kita sempena pemilihan ini kerana fobia dan takut.

Atas kepercayaan ini, saya dengan rasa rendah diri menawarkan diri untuk kerusi Timbalan Presiden. Saya yakin, kesinambungan perjuangan perlu untuk meneruskan sumbangan yang bagi saya cukup besar oleh bekas Timbalan Presiden, Senator Dr. Syed Husin Ali.

Saya berharap, anggota-anggota parti boleh membantu saya memperkukuh kepemimpinan parti bersama Saudara Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah.

Dalam kempen ini, saya ajak semua kita angkat politik nilai, saya pohon teman-teman dalam parti, bantu saya untuk sama-sama kita angkat nilai moderat, inklusif, sederhana, kasih sayang, perpaduan parti, semak dan imbang dalam parti sempenan pemilihan kali ini.

Sekira saya diberikan amanah memikul jawatan berat ini, dengan sokongan teman-teman, InsyaAllah kita akan perkukuhkan politik ini ini sebagai suatu kesinambungan perjuangan KEADILAN. Kesempatan ini juga, sebagai calon, saya tidak menolak kemungkinan bahawa saya jua mungkin Umno akan jadikan satu lagi beg tinju untuk mencalar imej parti massa depan ini.

Tetapi, saya yakin KEADILAN dan kematangan kita mampu menangani semua cabaran ini. Sekian.


KESINAMBUNGAN PERJUANGAN


Mustaffa Kamil Ayub
Naib Presiden KEADILAN


--------------
No. Tel. Bimbit : 012-324 9598
E-mel : muskamil_63@yahoo.com | muskamil63@gmail.com
Blog : http://mustaffakamil.blogspot.com

1 comments:

Muhammad Yasir said...

Semestinya Politik Nilai yang ditunggu oleh seluruh rakyat Malaysia.

Politik yang sederhana, tak busuk, tidak kolot dan ekstrim, mendasari prinsip masyarakat Madani.

Perincian tentang Masyarakat Madani ini harus terus dibincangkan supaya kita dapat memahami dengan TEPAT maksud Masyarakat Madani dan kaedah-kaedah ke arah melahirkan Masyarakat Madani.

Masyarakat Madani pernah disebut dalam Magnum Opus DSAI, Gelombang Kebangkitan Asia. Saya selari dgn Tuan, bab ini mesti dihayati semua.

Politik Nilai,
YASIR TAMIZI

 
Cheap Web Hosting | new york lasik surgery | cpa website design